SIRI SEJARAH 6: MELAYU ITU ISLAM

Hikayat dan kronik-kronik Melayu yang mencatatkan mengenai kemasukan Islam dan peng-Islaman Raja-raja Melayu menyatakan orang Melayu menerima Islam dari Arab, di mana terdapat Sheikh, Maulana, Sayyid atau Wali Allah dari Arab telah meng-Islamkan Raja-raja Melayu. Misalnya, Syarif Makkah dikatakan telah mengirimkan Sheikh Ismail dari Makkah ke Samudera Pasai untuk menyebarkan Islam, sebelum beliau mempengaruhi Raja Malabar, Sultan Muhammad (seorang Arab keturunan Saidina Abu Bakar as-Siddiq) untuk berdakwah di Nusantara yang kemudiannya bergelar Fakir Muhammad.

Hal yang sama juga dialami oleh Parameswara yang didatangi oleh Syed Abdul Aziz dari Jeddah ketika proses peng-Islaman Melaka.

Sumber dari Salatus Salatin dan Hikayat Raja Pasai

Ini dua sumber yang penulis bersetuju dengan teori ini. Apa yang dapat disimpulkan dari pembacaan dan kajian penulis, Islamnya orang-orang Melayu itu sendiri ada hadis yang tidak tahu dari sumbernya yang menyuruh penyebaran Islam ke tanah Melayu kerana disini akan lahir wali-wali atau penguasa yang menjadi kuatnya agama Islam. Empat perkara menarik yang perlu diketahui melalui hikayat Raja Pasai dan hikayat Salatus Salatin iaitu,
1. Islamnya orang Melayu ialah atas arahan Rasulullah s.a.w.
2. Islamnya Raja Melayu melalui mimpi Raja Melayu bertemu Rasulullah.
3. Keturunan Abu Bakar As Siddiq yang menjadi Sultan di India sebagai wakil untuk bersama Alam Melayu.
4. Keturunan mulia Saidina Umar dari Sultan Muhammad Al-Fatih berkahwin dengan Sultan Alaudin Riayat Shah Melaka.
Tidakkah ada hadis mengatakan pembantu Imam Mahadi dari keturunan Abu Bakar As Siddiq. Allahu A'lam.

SULTAN MALIKUS SALEH : RAJA MELAYU PERTAMA MEMELUK ISLAM

Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu memperihalkan kisah yang menarik mengenai pengislaman raja Samudera Pasai yang dikatakan sebagai kerajaan pertama yang memeluk Islam di Alam Nusantara. Riwayatnya adalah seperti berikut;

Sebermula maka tersebutlah pada zaman RSAW, baginda bersabda pada segala sahabat : "Pada akhir zaman kelak, ada sebuah negeri di bawah angin, Samudera namanya. Maka apabila kamu mendengar khabarnya isi Samudera itu, maka segeralah kamu pergi ke negeri itu, bawa isi negeri Samudera masuk Islam, kerana dalam negeri itu banyak wali Allah akan jadi, tetapi ada pula seorang fakir di negeri Mu'tabari namanya (Malabar India), ialah kamu bawa beserta kamu" Setelah berapa lamanya, kemudian daripada sabda Nabi SAW, maka terdengarlah kepada segala negeri, datang ke Mekah pun kedengaran nama negeri Samudera itu. Syarif di Mekah menyuruhkan sebuah kapal membawa segala perkakasan kerajaan seraya disuruhnya singgah ke negeri Mu'tabari, adapun nama nakhoda kapal itu Syeikh Ismail. Maka apabila kapal itu pun belayarlah, ia singgah di negeri Mu'tabari. Adapun raja di dalam negeri itu Sultan Muhammad namanya; maka baginda pun bertanya, "Kapal ini dari mana" ? Maka sahut orang dalam kapal itu, "Adalah kami ini kapal dari Mekah, hendak pergi ke negeri Samudera" Adapun Sultan Muhammad itu daripada cucu Saidina Abu Bakar As Siddiq RA. Maka ujar orang kapal itu "Kerana kami pergi dengan sabda Nabi SAW" Setelah didengar oleh Sultan Muhammad sabda RSAW itu, maka dirajakannya anaknya yang tua di negei Mutabari akan ganti kerajaannya, maka baginda dengan anakanda baginda yang muda memakai pakaian fakir, meninggalkan kerajaan turun dari istana lalu naik kapal itu, katanya " Kamu bawalah hamba ke negeri Samudera". Maka pada hati orang seisi kapal itu, bahawa "ini mudah-mudahan fakir seperti sabda RSAW itu". Maka fakir itupun dibawanya naik kapal lalu belayar. Maka kapal itupun belayarlah ke Samudera. Maka fakir itupun naik ke darat, maka ia bertemu dengan Merah Silu berkarang dipantai. Maka fakir itupun bertanya katanya, "Apa negeri ini?" Maka sahut Merah Silu, "Adapun nama negeri ini Samudera". Maka kata fakir itu, "Siapa nama pengetuanya dalam negeri ini?" Sahut Merah Silu, "Hambalah pengetua sekalian mereka itu ". Maka oleh fakir itu diislamkannya dan diajari kalimah Syahadah. Setelah Merah Silu Islam maka Merah Silupun kembali ke rumahnya. Shahadan pada malam itu Merah Silu pun tidur, maka ia bermimpi dirinya berpandangan dgn RSAW. Maka sabda RSAW kepada Merah Silu, "ngangakan mulutmu". Maka oleh Merah Silu dingangakan mulutnya, diludahi oleh RSAW mulut Merah Silu. Maka Merah Silu pun terjaga dari tidurnya. Diciumnya bau tubuhnya seperti narawastu. Telah siang hari maka fakirpun naik ke darat membawa Quran disuruhnya baca pada Merah Silu. Maka oleh Merah Silu dibacanya Quran itu, maka kata fakir kepada nakhoda kapal; "Inilah negeri Samudera seperti sabda RSAW itu". Maka oleh Syeikh Ismail segala perkakasan kerajaan yang dibawanya itu semua diturunkannya dari dalam kapal itu. Maka Merah Silu dirajakannya dinamai Sultan Malikus Saleh. Maka Syeikh Ismailpun belayarlah kembali ke Mekah, dan fakir itu (cucu kepada Saidina Abu Bakar As Sidiq) itu tinggallah dinegeri Samudera akan menetapi Islam isi negeri Samudera itu. Catatan : Sultan Malikus Saleh menjadi Raja kesultanan Pasai yang pertama dan raja terawal menganut Islam di Alam Melayu. Makam baginda tercatat tarikh kemangkatannya dalam tahun 676 Hijrah (1297 Masihi). Glossary:

Untuk memudahkan kita faham maksud manuskrip melayu lama ada beberapa perkataan yang kita kena terjemahkan maksudnya. Sebahagian seperti berikut:
1. Negeri dibawah angin: Negeri-negeri di sebelah timur. (Cina, Jepun, Nusantara)
2. Negeri diatas angin: Negeri-negeri di sebalah barat (Eropah, Arab).

Comments

Popular posts from this blog

Ilmu Lipat Bumi

SIRI SEJARAH 4: GOLD, GLORY AND GOSPEL

MALAYSIA MASA DEPAN